Wednesday, August 12, 2009

Rencana Tuhan...




Gambar Masjidilharam dan Masjid Gold Coast, Australia.



Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Ujian merupakan lumrah didalam kehidupan, ada yang diuji dengan sedikit penderitaan di segi kekayaan, ada yang di uji dengan kerenah anak-anak, ada yang diuji dengan kesukaran pekerjaan, ada yang di uji dengan rakan yang mengambil kesempatan, ada yang diuji perasaannya dan ada yang di uji dengan kekurangan anggota tubuh badan. Namun semuanya adalah dari Allah swt yang maha berkuasa dan Allah swt mahu melihat sejauh mana kita bersyukur menerima apa sahaja yang telah ditentukannya kepada kita sebagai hambanya.

Adakah kita bersedia menerima ujian dengan penuh ketabahan atau kita menyesali apa yang berlaku? Begitu banyak perkara yang berlaku didunia ini ada penuh dengan kegembiraan dan ada juga penuh dengan kedukaan kerana itulah sebenarnya warna-warna kehidupan yang mencorakkan dunia ini. Kita perlu mencari yang terbaik dan yang terbaik itu hanya akan dapat di jadikan sebagai reality sekiranya kita berusaha untuk mendapatkannya dengan bersungguh- sungguh. Kita hanya mampu untuk berusaha dan yang menentukan samada kita berjaya atau tidak adalah sebenarnya Allah swt. Kita hanya menyediakan sebab dan natijah atau keputusan adalah milik Allah swt.

Apa ertinya seorang yang tidak berjari apabila diberikan cincin, mungkin itu yang kita bayangkan tetapi jika si kudung mengambilnya ia mungkin tidak dapat memakai di jari tetapi boleh menjual untuk mendapatkan kewangan, yang penting apakah kebaikan yang mungkin dapat diperolehi dari apa sahaja yang berlaku. Bukan hidup ini untuk mengeluh, tetapi hidup ini untuk memberikan yang terbaik agar kita dapat merasai akan kebesaran ilahi merasakan walaupun serba kekurangan kita mampu untuk terus hidup seperti seorang yang sempurna.



Sekiranya apa sahaja yang diminta akan termakbul atau tertunai, mungkin manusia tidak akan dapat merasai erti kegembiraan, kesukaran demi kesukaran yang kita lalui akan memberikan perasaan kegembiraan setelah kita berjaya melepasi kesukaran tersebut. Setiap kesukaran pasti ada kesenangan, setiap kesukaran pasti ada kesenangan adalah dua ayat Allah di dalam al Quran untuk mengajar kita sebagai manusia yang lemah agar terus berusaha tanpa putus asa, kerana janji Allah swt pasti benar dan kita selalu dapat mengatasi segala kesukaran setelah kita berusaha bersungguh- sungguh.

Persoalannya sejauh mana kita bersedia untuk mendapatkan apa yang kita mahukan? Sejauh mana kita sanggup untuk merasai kesukaran demi kesukaran yang ada, sejauh mana kita bersedia melangkah untuk membina ribuan langkah seterusnya, sejauh mana kita sanggup di hina sehingga kita membukti kejayaan yang ingin dicapai, sejauh mana kita sanggup berkorban untuk mencapai cita-cita dan harapan. Sekiranya kita takut kesukaran, kesukaran pasti akan datang jua, bukan senang nak senang, kalau takut susah, susah nak senang. Kita perlu berusaha dan Allah swt akan menentukannya, yang penting kita terus berusaha dan berusaha tanda kita percaya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan atau tidak kepada kita sebagai manusia yang penuh dengan ujian untuk menguji keimanan.


Wassalam.

No comments:

Post a Comment